IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan terus menyalurkan bantuan dari semasa ke semasa bagi meringankan beban penduduk bandaraya ini yang terkesan akibat  pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud setakat ini, sebanyak 750 pek makanan dan barangan keperluan asas disumbangkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan bermula 4 Jun lalu.

Katanya, golongan yang terkesan kebanyakkannya terdiri daripada mereka yang menerima gaji harian dan peniaga kecil yang terpaksa menutup perniagaan buat sementara waktu akibat pandemik ini.

“Contohnya, golongan yang terkesan adalah dalam kalangan mereka yang mendapat gaji harian, selagi PKP belum berakhir, mereka tidak dapat bekerja dan tiada pendapatan. Kita bantu mereka sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Selain itu, peniaga kecil juga tidak boleh berniaga dan mereka ini tergolong dalam kelompok kategori miskin bandar,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, dalam situasi mengatasi pandemik Covid-19, MBI dan syarikat-syarikat korporat yang beroperasi di bandaraya ini berganding bahu menjalankan CSR kepada masyarakat yang memerlukan.

“Kita bergantung pada arahan kerajaan (bagi pelaksanaan PKP). Setakat ini, kita akan teruskan (memberikan bantuan).  Kalau panjang tempoh PKP kita akan lanjutkan pemberian bantuan, pengecualian sewa atau pengecualian lain,” jelasnya.

Terdahulu, Rumaizi menyampaikan sumbangan 100 pek barangan keperluan asas daripada MBI dan Bonanza Venture Holdings Sdn Bhd (BVH) di bawah program MBI Prihatin kepada enam wakil penduduk di Rumah Pangsa Kinta Heights, Flat Buntong Harmoni dan Waller Court di hadapan Dewan Mesyuarat MBI, hari ini.

Pemberian sumbangan ini turut dihadiri Pengarah Eksekutif Operasi BVH, Edwin Tan Beow Aik dan Penyelaras Komunikasi Operasi Meru Valley Golf Resort, Wong Chih Hong.

Pek tersebut mengandungi 18 jenis barangan keperluan asas antaranya beras, bihun, kacang tin, bawang putih dan minyak masak. Selain itu, barangan penjagaan diri asas seperti tuala wanita, syampu, ubat gigi, sabun mandi serta permainan untuk keluarga yang mempunyai anak kecil turut diberikan kepada penerima sumbangan.

Tambahan 150 pek makanan turut diberikan hari ini kepada golongan terkesan termasuk kakitangan MBI dan penduduk di kawasan Kampung Baru Buntong, Kampung Baru Pasir Pinji, Kampung Baru Kampung Simee, Kampung Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tasek dan Kampung Kepayang.