IPOH - Berita baik buat warga Bandaraya Ipoh apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi moratorium selama tiga bulan ke atas bayaran cukai taksiran penggal pertama, bayaran lewat sewaan rumah pangsa, pembaharuan lesen premis/iklan/komposit perniagaan dan lencana anjing 2021. 

Datuk Bandar ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, penangguhan bayaran ini dilaksanakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keprihatinan MBI kepada penduduknya yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19. 
 
Menurutnya, moratorium tersebut akan dilaksanakan selama tiga bulan mulai Jun hingga 31 Ogos ini. 
 
"Untuk makluman, moratorium ini bukan bertujuan pengecualian daripada bayaran tetapi lebih kepada memahami keperluan rakyat untuk berada di rumah dan terhad terhadap urusan di kaunter MBI secara fizikal untuk sementara. 
 
"MBI masih membuka saluran pembayaran secara dalam talian melalui laman sesawang MBI bagi mengelakkan sebarang tunggakan yang besar yang perlu dibayar oleh penyewa atau pembayar cukai.
 
"Selain itu, elaksanaan penangguhan ini juga sekali gus dapat membantu penduduk di bandaraya ini serta ekonomi peniaga-peniaga kecil yang terkesan selain merancakkan aktiviti perniagaan semasa di dalam tempoh PKP yang sedang dijalankan di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
 
Pada Mesyuarat Penuh MBI Mei lalu, Rumaizi mengumumkan pengecualian satu bulan bayaran sewa kepada peniaga-peniaga di Pasar Besar Ipoh dan peniaga-peniaga Medan Selera di bawah seliaan MBI bagi bulan Jun melibatkan lebih 1,000 peniaga dengan anggaran peruntukan RM50,000.