IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa cakna dan amat prihatin di atas nasib warga kota bandaraya ini yang terkesan akibat wabak Covid-19. 

Justeru, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud menyampaikan sumbangan 150 pek barangan keperluan harian kepada enam Ahli Majlis dan lima wakil MBI di bawah program MBI Prihatin yang diadakan hadapan Dewan Mesyuarat hari ini. 
 
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak.
 
Ahli Majlis yang terlibat adalah M S Jayagopi (Zon 6), A Ganesan (Zon 7), Mohd Rafaad Razali (Zon 10), Ho Wai Mun (Zon 11), Dr Richard Ng (Zon 14) dan Nurul Huda Ahmad Nator (Zon 9)
 
Pek barangan keperluan harian itu akan diagihkan kepada penduduk di zon Ahli Majlis berkenaan. 
 
Barangan itu adalah sumbangan MBI dengan kerjasama Bonanza Venture Holdings Sdn Bhd (BVH). 
 
Antara barangan yang terdapat dalam pek tersebut termasuklah beras, minyak masak, tepung gandum, sardin, bihun, ubat gigi dan lain-lain lagi.
 
Isnin lalu, Rumaizi menyampaikan sumbangan 100 pek barangan keperluan asas daripada MBI dan BVH di bawah program MBI Prihatin kepada enam wakil penduduk di Rumah Pangsa Kinta Heights, Flat Buntong Harmoni dan Waller Court. 
 
Sehubungan itu, MBI akan terus komited menghulurkan sumbangan dari semasa ke semasa bagi meringankan beban mereka yang terjejas susulan penularan Covid-19.