IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerima sebanyak 417 aduan berhubung haiwan terbiar atau haiwan peliharaan yang ditinggalkan di kawasan luar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, jumlah aduan yang diterima sepanjang PKP semakin bertambah serta kebanyakkan aduan yang diterima membabitkan anjing dan kucing.

Menurutnya, perkara tersebut berlaku disebabkan terdapat pemilik yang membuang haiwan peliharaan mereka atau ada kalanya dilepaskan keluar tanpa kawalan ditambah dengan haiwan terbiar yang sedia ada.

Rumaizi turut memberitahu, lazimnya kebanyakkan haiwan tersebut sudah tua.

“Di tempat kita juga ada lembu atau kambing yang dilepaskan dan lazimnya berlaku di kawasan pinggir bandar.

“Oleh itu, kita (MBI) akan tangkap haiwan berkeliaran ini dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Pencinta Haiwan dan ditempatkan di kawasan khas di pinggir bandar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemu bual melalui perbualan telefon oleh penyampai radio Kool FM AG, Haiza dan Muaz pada segmen Kool Talk jam 7 pagi tadi.

Menyentuh bagaimana suasana di bandar Ipoh susulan pelaksanaan PKP 3.0, Rumaizi berkata, secara umumnya penduduk di bandaraya Ipoh mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan namun masih terdapat segelintir daripada mereka yang melanggar peraturan tersebut serta kesalahan-kesalahan lain, tetapi masih berada dalam keadaan terkawal.

“Selain itu, MBI turut membantu dalam pengurusan pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia dan menyediakan tempat rawatan pesakit (Covid-19) sementara di gelanggang badminton MBI (Arena Badminton Perak),” jelasnya.