PARIT- Gerobok Rezeki Opah Minah  (GROM) walaupun kecil tetapi memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya penduduk di Kampung Tua, Tanjung Belanja sejak lebih dua bulan lalu.

Ahmad Mizuan Ahamad Tekmizi, 39, berkata GROM menyediakan barangan makanan asas yang diberi secara percuma kepada penduduk yang memerlukan terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Usaha ini adalah inisiatif ahli keluarga dalam meneruskan amalan bersedekah oleh arwah nenek saya, Aminah Abdul Zabry sewaktu hayatnya masih ada sehinggalah dia meninggal dunia ketika berusia 81 tahun pada 2018.

"GROM diilhamkan sempena nama opah saya yang lebih dikenali dengan panggilan Opah Minah oleh keluarga serta penduduk kampung.

"Kami membina gerobok tersebut atas izin tuan tanah dengan kos hampir RM3,000. Bermula dari RM250, saya membeli barangan keperluan asas untuk diletakkan ke dalam gerobok ini," katanya.

Sikap Opah Minah yang peramah dan suka bersedekah amat disenangi penduduk kampung dan sekiranya dia menerima berita gembira mengenai ahli keluarganya, pasti dia akan bersedekah dengan memberi makanan kepada jemaah masjid serta jiran tentangga.

Walaupun, Ahmad Mizuan bertugas sebagai Penolong Jurutera Majlis Daerah Perak Tengah, itu tidak menghalangnya bagi meneruskan kerja kebajikan tersebut, malah dia mendapat sokongan daripada adik-beradik termasuk hampir 20 orang sepupunya yang juga cucu kepada Opah Minah.

"Kami bermuafakat menyediakan barangan seperti beras, tepung, serbuk uncang teh, gula dan sebagainya di gerobok rezeki untuk diberikan secara percuma.

"Setakat ini, sokongan dari penduduk kampung dan masyarakat luar juga amat menggalakkan. Sekiranya ada individu yang ingin menyumbang tidak kira dalam apa saja bentuk, boleh menghubungi saya di talian 012-336 1342.

"Sumbangan kewangan bagi membeli barangan keperluan juga boleh dibuat menerusi akaun Maybank adik saya, Ahmad Sahriman Ahamad Tekmizi iaitu 162405010603,” tambahnya.

Sementara itu, penduduk kampung, Bustanuddin Bustamam, 72, adalah antara individu yang turut sama membantu usaha murni ahli keluarga Opah Minah.

"Sejak GROM diwujudkan, ia banyak membantu golongan yang memerlukan. Sebagai sokongan kepada usaha ini, saya sentiasa memastikan pondok rezeki ini terjaga dan menguar-uarkan perkembangan terkini kepada masyarakat kampung.

"Sehubungan itu, saya berharap lebih ramai dermawan tampil bagi menghulurkan sumbangan ikhlas demi kesejahteraan bersama, " katanya.

Orang ramai yang ingin menghantar sumbangan secara terus bolehlah ke GROM di alamat Batu 1, Jalan Baharu, Kampung Tanjung Belanja, 32800 Parit, Perak.