IPOH - Masih terdapat segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab membuang pelbagai jenis sampah di Pusat Pengumpulan Sampah Domestik yang disediakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Kampung Rapat Jaya Tambahan, di sini.

Longgokkan sampah itu berlaku sejak pusat pengumpulan tersebut dibuka pada 7 Mei lalu dan keadaan berlarutan sehingga ke hari ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud memaklumkan, MBI menyediakan tong sampah tersebut untuk pembuangan sampah domestik iaitu apa-apa sisa pepejal yang dihasilkan daripada aktiviti isi rumah dan komersial contohnya kertas, kadbod, plastik, sisa makanan dan sisa restoran.

Bagaimanapun,  beliau berkata, pelbagai jenis sampah lain seperti perabot turut dibuang disitu dan ini antara punca berlakunya longgokan sampah.

“Kita telah menyediakan dua tong sampah besar di pusat pengumpulan tersebut untuk kegunaan penduduk setempat.

“Namun masih ada yang membuang semua jenis sampah di tapak ini sesuka hati serta tidak memasukkan ke dalam tong sampah yang disediakan,” katanya kepada Peraktastic hari ini.

Katanya, jadual kutipan sampah domestik adalah pada setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu manakala sampah haram pula dibersihkan sebulan sekali.

Tambahnya, pembersihan sampah haram terbaru dijalankan pada hari ini membabitkan empat orang pekerja dengan sebuah lori terbuka.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata, bagi memastikan masalah sampah ini tidak berterusan, MBI sentiasa menjalankan intipan melalui tim antilitter penguat kuasa dari semasa ke semasa.

“Sekiranya tangkapan dibuat, pelaku (orang yang membuang sampah) akan dikenakan tawaran kompaun sehingga maksimum RM2,000 berdasarkan peruntukan 12 Undang-undang kecil pemungutan dan pelupusan sampah sarap (MPI) 1986,” jelasnya.

Beliau berkata, pada Mei lalu, sebanyak 82 kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan berkaitan sampah sarap dengan kadar denda RM67,550.

“Sehubungan itu, kita memohon supaya penduduk di kawasan terbabit memberi kerjasama dan menghargai segala kemudahan yang disediakan MBI.

“Selain itu, sikap bertanggungjawab bersama perlu dipupuk supaya kejadian pembuangan sampah ini tidak berulang lagi pada masa hadapan,” ujarnya.