IPOH- Econsave sekali lagi tampil menghulurkan sumbangan kepada Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP) dalam membantu meringankan perbelanjaan media yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman berkata, sumbangan yang dihulurkan itu sekadar menghargai kerjasama KSKMP yang terjalin sekian lama.

"Rakan-rakan media sering memberi kerjasama yang terbaik kepada kami dengan memberikan liputan menyeluruh terutamanya sewaktu kami mengadakan program berhubung tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Sumbangan ini sebagai tanda terima kasih kepada rakan-rakan media khususnya KSKMP dan diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan sedikit perbelanjaan seharian rakan-rakan terutamanya sewaktu tempoh PKP ini.

“Saya berharap persahabatan dan kerjasama ini akan terus terjalin dan bersama-sama dapat melaksanakan pelbagai program pada masa akan datang," katanya sewaktu dihubungi semalam.

Sementara itu Presiden KSKMP, Rosli Mansor Ahmad Razali berkata Econsave merupakan satu-satunya pasaraya yang sentiasa prihatin kepada kerja-kerja kebajikan tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kami mengenali pihak pengurusan Econsave melalui pelbagai program CSR sebelum ini. Keprihatinan mereka terhadap komuniti yang kurang bernasib baik sentiasa berterusan.

“Program seumpama itu haruslah dicontohi oleh syarikat-syarikat lain demi memastikan tiada masyarakat yang terpinggir dan hidup dalam kesempitan.

"Saya bagi pihak KSKMP mengucapkan ribuan terima kasih kepada Econsave di atas sumbangan barangan keperluan asas ini. Semoga kerjasama selama ini akan terus terjalin pada masa hadapan,” katanya.