IPOH – Degil! Ungkapan sesuai untuk penduduk yang masih membuang sampah merata-rata walaupun Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menyediakan tong sampah besar di Pusat Pengumpulan Sampah Domestik di kawasan perumahan sekitar bandaraya ini.

Bagaimanapun, masih terdapat individu yang bertindak demikian di kawasan yang terdapat papan tanda larangan membuang sampah.

Salah satu kawasan yang dikesan adalah di Jalan Ng Weng Hup, Taman Pertama, di sini.

Pekerja MBI segera bertindak membersihkan sampah yang dibuang sesuka hati oleh mereka yang tidak bertanggungjawab itu bagi memastikan bandaraya ini sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Justeru, warga Ipoh diharap dapat memberi kerjasama dengan membuang sampah secara teratur agar perkara sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Semalam, Peraktastic melaporkan terdapat longgokkan sampah yang dibuang di luar tong sampah di Pusat Pengumpulan Sampah Domestik di Kampung Rapat Jaya Tambahan.

Perkara itu berlaku sejak pusat pengumpulan tersebut dibuka pada 7 Mei lalu dan keadaan sama terus berlarutan.

Namun, tindakan pekerja MBI yang pantas segera melakukan pembersihan sampah tersebut pada hari sama.

Sebagai peringatan, jika tangkapan dibuat, pelaku (orang yang membuang sampah) akan dikenakan tawaran kompaun sehingga maksimum RM2,000 berdasarkan peruntukan 12 Undang-undang kecil pemungutan dan pelupusan sampah sarap (MPI) 1986.