KAMPAR – Selepas lebih dua bulan fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan, ia dilihat mendapat sambutan baik dari pelbagai lapisan masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Seramai 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua membabitkan golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, pesakit kronik, orang kelainan upaya (OKU) dan individu berkomorbiditi.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi negatif dilontarkan netizen melalui media sosial dengan menyatakan kesan sampingan terhadap penerima vaksin terutamanya warga emas yang mempunyai penyakit berisiko.

Seorang pesara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Kampar, Abdul Hamid Abdul Rashid, 82, berkata berita yang negatif mengenai vaksin adalah satu perbuatan yang boleh mengelirukan masyarakat terutamanya warga emas.

“Saya tidak terpengaruh langsung dengan berita yang tidak baik berhubung vaksin Covid-19. Kita seharusnya tidak perlu memikirkan perkara tersebut kerana KKM telah membuktikan vaksin adalah selamat sebelum diluluskan untuk kegunaan rakyat Malaysia.

“Setakat ini, saya tidak menerima sebarang kesan sampingan selepas suntikan dos pertama walaupun usia saya telah melewati 80-an,” katanya sewaktu ditemu bual di Dewan Komuniti Sahom sempena Program Outreach Daerah Kampar, di sini, baru-baru ini.

Seorang lagi penerima suntikan vaksin yang juga pesakit darah tinggi, Normah Othman, 75, turut berkongsi kegembiraannya selepas menerima suntikan pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

“Selepas sekian lama menunggu untuk mendapatkan suntikan dos vaksin yang pertama, akhirnya saya menerimanya pada hari ini.

“Sokongan daripada anak-anak membuatkan saya kuat dan yakin malah petugas KKM serta sukarelawan yang mengendalikan urusan vaksinasi di sini sangat pantas dan mesra.

“Tiada apa yang perlu dikhuatiri, semua vaksin dijamin selamat. Terima kasih kepada KKM yang begitu prihatin kepada rakyat. Bagi mereka yang belum mendaftar segeralah berbuat demikian di aplikasi MySejahtera demi keselamatan dan kesejahteraan kita semua,” katanya.