IPOH – Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bekerjasama menyumbangkan pek makanan kepada 237 keluarga di Rumah Pangsa Waller Court di sini, hari ini.

Jalinan kerjasama ini dilaksanakan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KLK dan MBI Prihatin.

Ketua Pegawai Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian berkata, pandemik Covid-19 telah memberi impak besar kepada rakyat terutamanya mereka yang terdiri daripada golongan B40.

“Sejak pandemik ini melanda negara, ramai yang terkesan dan sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, kita tampil untuk memberi sumbangan supaya dapat mengurangkan beban mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Terdahulu, beliau diiringi Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud menyampaikan sumbangan tersebut kepada tiga wakil penduduk Rumah Pangsa Waller Court di hadapan Dewan Mesyuarat MBI di sini, tengah hari tadi.

Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu, KLK telah bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu golongan terjejas akibat Covid-19.

“Kita telah menyampaikan bantuan lebih 10,000 orang di sekitar Lembah Klang, Ipoh, Negeri Sembilan dan Sabah terutamanya mereka yang tergolong dalam keluarga B40,” ujarnya.

Selain penghuni di Rumah Pangsa Waller Court, KLK turut menyampaikan sumbangan pek makanan kepada 125 pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga B40 dari Sekolah Kebangsaan Seri Mutiara, Sekolah Kebangsaan Sungai Raya and Sekolah Kebangsaan Guru Kalgidar sepanjang PKP 3.0 dilaksanakan.

“Kita turut bekerjasama dengan Iman Ikatan Mabahhah Muslimin (IMAN) menyerahkan sumbangan sama kepada 100 keluarga di sekitar Chemor dan Manjoi serta mengambil inisiatif membantu sembilan rumah kebajikan termasuk pusat penjagaan warga emas dan anak yatim,” jelasnya.

Sementara itu, Rumaizi berkata, MBI akan meneruskan kerjasama dengan syarikat korporat bagi membantu keluarga yang memerlukan terutamanya di sekitar bandaraya Ipoh.

“Ini adalah kerjasama pertama antara MBI dan KLK dan diharap akan berterusan pada masa hadapan,” katanya.

Turut hadir pada program tersebut, Ahli Majlis MBI Zon 8 (Kepayang), Mohammad Iskandar Abdul Rahman dan Pengarah Pentadbiran (Perladangan) KLK, Har Wai Ming.