IPOH - Pengorbanan petugas barisan hadapan (frontliner) yang menjalankan tugas tanpa mengira waktu serta usaha mereka untuk menurunkan kes jangkitan Covid-19 memberi impak besar kepada rakyat. 
 
Justeru, Ariff Frozen Food dengan kerjasama Persatuan India Muslim Perak (PRIM), Parti Perikatan India Muslim Malaysia (IMAN), Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) mengambil inisiatif menyampaikan barangan basah berupa ikan kepada petugas barisan hadapan ini. 
 
Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah berkata, bekalan ikan ini diagihkan kepada 100 keluarga anggota polis yang menetap di berek polis Jalan Padang Tembak, di sini. 
 
"Alhamdulillah, hari ini (semalam) kita telah mengagihkan barangan basah berupa ikan kepada keluarga anggota polis dan diharap pemberian kecil tersebut dapat menggembirakan mereka," katanya. 
 
Sebelum ini, PRIM bersama-sama IMAN, Permim dan Ariff Frozen Food menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada golongan yang memerlukan di sekitar bandaraya Ipoh. 
 
"Kita akan terus komited meringankan beban mereka yang terjejas susulan penularan Covid-19 dan mendoakan supaya pandemik ini berakhir dengan segera," ujarnya.