IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membelanjakan kira-kira RM318,500 untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBI Prihatin untuk tempoh enam bulan pertama bagi tahun ini.

Program MBI Prihatin ini dijalankan secara berterusan bagi membantu penduduk yang memerlukan bantuan sekali gus menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandaraya sejahtera.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, sepanjang program ini dilaksanakan kerajaan negeri, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian tampil bekerjasama dengan MBI bagi menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada warga kota yang terjejas terutamanya  akibat pandemik Covid-19.

“Kita telah menjalankan pelbagai program penyerahan bantuan dan CSR melalui MBI Prihatin untuk meringankan beban penduduk di bandaraya ini.

“Bermula awal tahun ini, kita telah mengadakan program Back To School iaitu pemberian pakaian seragam, set alat tulis dan beg sekolah kepada pelajar yang layak di sekitar bandaraya Ipoh serta anak-anak anggota MBI dalam kategori B40.

“Pada perayaan Tahun Baru Cina pula, MBI menyumbangkan wang tunai dan kotak makanan kepada penduduk kaum Cina di sekitar kawasan Bercham, Kampung Simee dan Pasir Pinji.

“Seterusnya, MBIFREEWIFI diwujudkan dengan menyediakan liputan kemudahan wifi percuma di 20 lokasi terpilih sekitar Ipoh berkelajuan 300Mbps yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Pemberian tablet kepada pelajar yang memerlukan turut diadakan bagi memudahkan mereka

mengikuti  sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta menjayakan program Tuisyen Cikgu Saarani yang dilancarkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad pada 3 Februari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Jun, di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.

Rumaizi berkata, sepanjang Ramadan dan perayaan Aidilfitri, MBI turut mengadakan program kebajikan dengan mengadakan majlis berbuka puasa dan pemilihan baju raya serta menghulurkan sumbangan berbentuk kewangan dan pek makanan kepada warga emas, golongan miskin bandar dan beberapa rumah anak-anak yatim di Ipoh.

Sementara itu, beliau berkata, sewaktu tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada dalam kalangan penduduk di bandaraya ini yang berdepan dengan masalah putus bekalan makanan atau sukar untuk mendapatkan stok memandangkan pergerakan adalah terhad.

“Justeru, kita bekerjasama dengan beberapa syarikat korporat antaranya Kuala Lumpur Kepong Berhad, Bonanza Holdings Venture Sdn Berhad serta Pasaraya Econsave menyampaikan sumbangan pek makanan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta warga Ipoh dan anggota MBI dalam golongan B40,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, program MBI Prihatin akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada penduduk yang terpinggir terutamanya di saat pandemik Covid-19 masih belum berakhir.