MANJUNG – Sesuai dengan situasi norma baharu, Majlis Perbandran Manjung (MPM) hari ini memperkenalkan aplikasi myMANJUNG yang boleh diakses untuk pelbagai urusan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan orang ramai.

Antaranya bagi urusan e-Semak (semakan lesen, kompaun pelbagai, cukai taksiran dan bil air gerai milik MPM), e-Billing, pembayaran dalam talian dan menyemak sejarah pembayaran.

Tim Media myMANJUNG MPM dalam satu kenyataan memberitahu, perkhidmatan tersebut boleh diakses menerusi pautan https://mymanjung.mpm.gov.my bagi memudahkan orang ramai menyelesaikan urusan hanya pada hujung jari.

Menurut kenyataan tersebut, aplikasi myMANJUNG juga boleh digunakan untuk menyalurkan aduan awam termasuk melibatkan penjaja di daerah Manjung.

“Mereka boleh melakukan urusan permit penjaja secara terus melalui aplikasi ini. Kedua-dua perkhidmatan tersebut akan mula dapat diakses pada aplikasi ini mulai Ogos nanti.

“Buat masa ini aplikasi ini diakses menerusi laman web dan dalam sedikit masa lagi myMANJUNG boleh dimuat naik pada telefon bimbit melalui Google Playstore dan Appstore,” kata kenyataan tersebut.

Menerusi aplikasi baharu ini nanti ia akan menawarkan lebih banyak perkhidmatan tanpa perlu ke kaunter sejajar dengan langkah MPM ke arah mendigitalkan semua urusan.

Dalam pada itu, sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan ini bolehlah menghubungi atau menerusi WhatsApp di talian hotline myMANJUNG pada nombor berikut iaitu 011-10629761, 011-10812976 dan 011-10729763.