IPOH – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Perak sentiasa menggembleng tenaga dan berusaha bagi memastikan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, rakyat, perniagaan dan ekonomi tidak terabai.

Justeru, PBT perlu menghadapi cabaran pasca Covid-19 yang rata-rata perlu bertukar daripada perkara yang menjadi kebiasaan kepada norma baharu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, tempoh ini adalah masa yang sesuai untuk membuat perancangan baru memandangkan banyak kerja tidak dapat dilaksanakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, perancangan yang dibuat harus jelas dan teliti supaya ia dapat dilaksanakan dengan baik.

Berkaitan pandemik, Rumaizi berkata persiapan untuk ke hadapan bukanlah dari sudut infrastruktur tetapi persiapan terhadap manusia.

“Penilaian semula perlu kerjasama berterusan antara masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat pekerja dan perkara ini perlu dilaksanakan untuk masa sekarang dan selepas pandemik.

“Justeru, terdapat empat perkara asas untuk menjadikan PBT lebih mantap selepas pandemik iaitu pertama, menyokong dan mendapat keyakinan masyarakat, bandaraya atau atau majlis daerah termasuk NGO dan persatuan.

“Kedua, PBT perlu mendapat sokongan politik yang baik sama ada daripada kepimpinan setempat, negeri atau secara keseluruhan bagi membantu pembangunan sosial dan fizikal.

“Seterusnya, kewangan dan sumber teknologi yang ada dalam PBT masing-masing perlu dibangunkan.

“Keempat, PBT perlu berkolaborasi dengan semua pihak supaya PBT lebih berdaya saing dan lebih ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Siri Pertama Wacana PBT dengan topik Pengurusan PBT dalam Pasca Covid-19 yang disiarkan secara langsung melalui Facebook dan YouTube Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini.

Wacana itu turut menampilkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Zulqarnain Mohamad, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar (MDKpr), Abdul Halim Saad dan Yang Dipertua Majlis Daerah Pengkalan Hulu (MDPH), Safuan Salleh serta dikendalikan Moderator, Musa Dun.

Bagi MPKK, Zulqarnain berkata, pelbagai inisiatif diperkenalkan dalam usaha membantu meningkatkan sektor ekonomi di Kuala Kangsar.

“Sebelum ini kita mengadakan Kuala Car Free Day Festival dengan pelbagai aktiviti namun sejak pandemik Covid-19 kita tukar kepada Kuala Car Free Night di Medan Jubli yang dijalankan secara dalam talian.

“Selain mengadakan program melalui Facebook Live, kita selitkan jualan produk seperti laksa, labu sayong supaya dapat dibeli secara online.

“Melalui platform Tourism Promotion Organization (TPO) kita berbincang untuk mempromosikan produk pelancongan seperti keris, tekat dan labu sayong untuk dieksport ke peringkat antarabangsa dan sekali gus menjana ekonomi di peringkat tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.

Sementara itu, Safuan menjelaskan MDPH mengikut saranan kerajaan bagi memastikan sektor kesihatan dapat berfungsi dengan penuh efisien, meneruskan agenda kebajikan rakyat serta menyokong kelangsungan perniagaa.

“Kita bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Rela dalam memastikan kotak makanan tiba kepada penduduk yang memerlukan.

“Selain itu, kita turut menyokong inisiatif kerajaan negeri membantu peniaga kecil seperti memberikan bantuan tunai kepada penjaja, bantuan pengecualian premis dan pengecualian lesen hotel. Pengecualian yang diberikan sangat membantu dan menyokong perniagaan.

“Pada masa sama, kita membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha meningkatkan vaksinasi dengan menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Bandaran, Pengkalan Hulu dan setakat ini sudah 50 peratus telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin,” ujarnya.

Dalam perkembangan  berkaitan, Abdul Halim berkata, MDKpr telah menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada golongan yang terkesan akibat pandemik tersebut.

“Sebelum PKP 3.0, kita memberi bantuan makanan kepada 130 orang pelajar sekolah yang terkesan dengan pandemik melalui program Kerja Amal Membantu Insan (KAMI).

“Baru-baru ini, kita telah meluluskan peruntukan RM24,000 salurkan melalui Ahli Majlis bagi membantu warga Kampar yang terkesan melalui bantuan makanan.

“Pihak majlis turut membantu peniaga melalui pengecualian lesen dan sewa malah bagi tempoh 11 Januari sehingga 30 Mac kita turut memberikan diskaun kompaun tempat letak kereta sehingga 70 peratus untuk meringankan beban warga Kampar,” katanya.