IPOH - Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Cawangan Tambun mengambil inisiatif menyediakan 'Google Form' untuk mendapatkan data pemohon khususnya penduduk di kawasan Parlimen Tambun yang memerlukan bantuan makanan asas. 

Pengerusinya, K Dinesh berkata, borang ini bagi memudahkan urusan supaya bantuan diberikan kepada penerima dengan kadar segera.

"Borang ini disediakan bagi kami mendapatkan data pemohon yang memerlukan bantuan terutamanya di sekitar Parlimen Tambun," katanya kepada Peraktastic. 

Semalam, pihaknya berjaya mengesan 10 keluarga serta individu yang terdiri daripada golongan warga emas, ibu tunggal dan orang kehilangan upaya (OKU) usia emas, yang tiada sumber pendapatan.

Menurutnya, sumbangan bantuan makanan asas telah diedarkan kepada mereka melalui Program Bantuan Kotak Makanan MIYC Cawangan Tambun kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

"Peruntukan kotak makanan ini adalah hasil perkongsian ahli jawatankuasa (AJK) kami dan individu persendirian demi niat membantu masyarakat yang susah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

"Program ini akan diadakan secara berterusan bagi memastikan rakyat tidak hidup dalam keadaan terbeban," jelasnya. 

Bagi penduduk di Parlimen Tambun yang memerlukan bantuan boleh mengisi borang di 'Google Form' di pautan ini https://forms.gle/4JGx6YKTu1mF3zyUA atau hubungi talian 014-343 5511.