IPOH - Dua rumah yang mengibarkan bendera putih antara penerima bantuan keperluan asas di kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta sempena program Ziarah Kasih Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Prihatin di sini, hari ini. 
 
Antara lokasi yang dikunjungi pada hari ini adalah Taman Pakatan Jaya, Taman Perpaduan, Taman Permai Lakeview dan Bandar Baru Putra.
 
Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, ketika melakukan tinjauan di sekitar kawasan tersebut, pihaknya mendapati terdapat dua rumah yang memasang bendera putih di Taman Pakatan Jaya. 
 
 
"Alhamdulillah, kami selesai melakukan kunjungan dan menyerahkan sumbangan kepada penerima telah kami kenal pasti yang memerlukan bantuan serta menghadapi kesusahan sepanjang musim (PKP) kali ini. 
 
"Jika memerlukan pertolongan, jangan malu. Kibarkan  bendera putih di kediaman masing-masing jika sudah habis bekalan makanan atau memerlukan keperluan yang lain. 
 
"InshaALLAH, orang di sekeliling akan membantu setakat termampu kerana masih ramai rakyat yang prihatin di luar sana," katanya. 
 
Mazlan berharap, semoga sumbangan itu dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh penerima-penerima.