IPOH – Boba Tea Sdn Bhd (Daboba) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berganding bahu menyumbang 125 pek makanan kering dan basah kepada 125 peniaga Gerbang Malam serta 30 warga MBI melalui program MBI Prihatin yang diadakan di hadapan Dewan Mesyuarat MBI, hari ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, bantuan ini diberikan kepada peniaga-peniaga yang kehilangan punca pendapatan akibat tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hari ini, kita bersama-sama Daboba menyerahkan bantuan tersebut kepada peniaga Gerbang Malam yang terjejas,” katanya.

Pada majlis itu, Daboba dan MBI menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Persatuan Kebajikan Usahawan Gerbang Malam, Ahmad Hirwan Othman bersama empat AJK bagi mewakili 125 orang peniaga manakala 30 pek bekalan makanan kering dan basah pula kepada lima wakil petugas MBI.

Mereka turut menyampaikan sumbangan sama kepada Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Rosli Mansor Ahmad Razali untuk diserahkan kepada 30 petugas media sambilan yang terkesan akibat PKP.

Hadir sama, Pengarah Boba Tea Sdn Bhd, Jordan Choong Jun Meng; Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak dan Ahli Majlis MBI Zon 21 (Sungai Rapat), Abu Bakar Hussian.

Jordan Choong berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan MBI pada masa hadapan untuk menjalankan misi bantuan bersama-sama sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya pada masa hadapan.

Sementara itu, AJK Persatuan Kebajikan Usahawan Gerbang Malam, Zulkifli Ismail, 53, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu peniaga-peniaga yang majoriti hilang punca pendapatan sejak PKP 1.0.

Dia yang sudah 17 tahun berniaga pakaian ‘bundle’ di Gerbang Malam antara yang terkesan kerana tiga daripada empat orang anaknya juga sudah tidak dapat bekerja akibat pandemik tersebut.

“Sepanjang PKP dilaksanakan, kami berniaga secara on-off. Jadi, ramai yang mencari alternatif lain dengan melakukan pelbagai jenis kerja lain seperti menjual barangan secara atas talian, jadi runner hantar makanan dan sebagainya.

“Kami juga terpaksa mengeluarkan wang simpanan bagi membayar bil-bil bulanan serta untuk perbelanjaan harian,” ujarnya.

Zulkifli berkata, pemberian barangan makanan asas ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka sekeluarga serta peniaga-peniaga Gerbang Malam yang lain.