IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memfokuskan untuk membantu golongan miskin bandar mengejut serta memberi bantuan secara berterusan kepada penduduk terjejas ekoran pandemik Covid-19 demi kelangsungan hidup.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, sebelum ini ramai orang tahu mengenai penduduk miskin bandar tetapi kini terdapat istilah baharu yang dikenali sebagai miskin bandar mengejut melibatkan mereka yang pernah bergaji antara RM4,000 ke RM5,000 sebulan namun diberhentikan kerja atau tidak dibenarkan untuk berniaga sehingga tiada sumber pendapatan.

“Mereka perlu membayar pinjaman kereta, sewa rumah dan golongan itu (miskin bandar mengejut) yang kita fokus untuk bantu dan kumpulan miskin bandar sedia ada memang kita terus membantu dari semasa ke semasa.

“Jika mengikut laporan, sekarang kita bukan lagi bercakap tentang golongan B40 tetapi B60, maknanya dah sampai ke 60 peratus menunjukkan ada tambahan 20 peratus isi rumah terkesan akibat wabak Covid-19 ini.

“Justeru, kita akan beri bantuan segera kepada mereka. Sekurang-kurangnya kita tidak mahu dengar ada penduduk yang terputus bekalan makanan,” katanya.

Beliau ditemui  program MBI Prihatin yang diadakan di hadapan Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Boba Tea Sdn Bhd (Daboba) dan MBI menyampaikan sumbangan kepada wakil peniaga Gerbang Malam bagi pihak 125 orang peniaga manakala 30 pek bekalan makanan kering dan basah kepada lima wakil petugas MBI.

Mereka turut menyampaikan sumbangan barangan makanan basah dan kering kepada Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Rosli Mansor Ahmad Razali untuk diserahkan kepada 30 petugas media sambilan yang terkesan akibat PKP.

Hadir sama, Pengarah Boba Tea Sdn Bhd, Jordan Choong Jun Meng; Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak dan Ahli Majlis MBI Zon 21 (Sungai Rapat), Abu Bakar Hussian.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata, pihaknya juga sedang berusaha memberikan pelbagai jenis bantuan lain.

“Kita juga akan cuba beri bantuan lain, contohnya seperti pelajar yang tiada alatan digital seperti telefon pintar untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta kes penyewa perlu keluar dari rumah sebab tak mampu nak bayar sewa.

“Kita tidak mahu ada peningkatan daripada sudut gelandangan di bandaraya Ipoh dan golongan ini kita nak selamatkan dulu,” jelasnya.