IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui program MBI Prihatin yang sedang rancak dilaksanakan, berjaya membela nasib pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Ahli Majlis MBI Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abdul Aziz berkata, melalui program itu, beliau sendiri dapat mendekati serta menyelami keperitan golongan-golongan yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.

“Hari ini kita menyampaikan sumbangan kepada 15 buah rumah di bawah program MBI Prihatin di kawasan Zon 5 meliputi Meru, Meru Raya, Klebang dan Jelapang Jaya. Sumbangan ini akan dilaksanakan secara berterusan demi memastikan kesejahteraan warga kota,” jelasnya.

Menurutnya, program ini turut mendapat kerjasama dari Ketua Wanita Umno Cawangan Tambun, Surai Hussin yang telah mengenal pasti 10 buah keluarga di Kampung Jelapang Jaya yang memerlukan bantuan.

Salah seorang penerima sumbangan, Khairul Nizam Saruji, 46, dari Halaman Meru Damai merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak MBI yang telah turun ke seluruh pelusuk bandaraya Ipoh untuk membantu golongan yang di dalam kesusahan.

“Sememangnya bantuan ini dapat mengembirakan hati saya serta meringankan bebanan perbelanjaan seharian.

“Akibat dari pandemik Covid-19, saya kehilangan mata pencarian dan kini memikirkan bagaimana cara untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan yang sukar ini.

“Program MBI Prihatin ini diharap akan berterusan untuk membela nasib masyarakat seperti kami. Bantuan ini sedikit sebanyak memberi semangat dan kekuatan kepada kami untuk menempuhi hari-hari mendatang, “ katanya.