IPOH - Senyuman terukir di wajah penghuni Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Pelangi apabila menerima sumbangan buku ulangkaji dan alat tulis daripada Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 6 (Buntong), A Jayagopi baru-baru ini. 

Rumah yang dihuni 18 kanak-kanak dan remaja perempuan ini terdiri daripada anak yatim piatu dan keluarga kurang berkemampuan yang berusia antara enam hingga 17 tahun.

Selain itu, pek makanan asas, beras dan telur turut diberikan kepada mereka di bawah program MBI Prihatin. 

Pengerusinya, A Jennifer berkata, di saat pandemik Covid-19 ini, rumah kebajikan itu juga terkesan terutamanya kekangan dari segi kewangan. 

"Sumbangan buku ulang kaji, alat tulis dan pek makanan asas ini secara tidak langsung membantu meringankan beban penghuni-penghuni di rumah ini," katanya kepada Peraktastic.

Menurutnya, masalah yang mereka hadapi sekarang adalah untuk membayar sewa premis yang telah tertunggak sejak lapan bulan lalu. 

"Setakat ini, kami menggunakan wang hasil sumbangan orang ramai untuk menampung segala kos perbelanjaan harian,

"Justeru, kami berharap ada syarikat atau individu yang akan tampil membantu demi masa hadapan penghuni-penghuni di rumah ini," jelasnya. 

Sementara itu, Jayagopi berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan penghuni-penghuni di rumah kebajikan tersebut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). 

“Program MBI Prihatin ini akan diteruskan dari semasa ke semasa upaya lebih ramai golongan sasar yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dapat dibantu," ujarnya. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 6 Jalan Tun Razak, M Ramachandran dan Pengerusi MIC Ulu Buntong Bahagian Ipoh Barat, M Muniswaran. 

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Jennifer di talian 017-561 1767.