IPOH - Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud menyampaikan 60 pek makanan basah dan kering kepada penduduk Rumah Pangsa Kinta Heights, di sini. 

Sumbangan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu adalah di bawah program MBI Prihatin yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan. 
 
Sebagai simbolik, Rumaizi menyampaikan pek-pek tersebut kepada tiga wakil penduduk rumah pangsa berkenaan di bangunan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kinta Heights, hari ini. 
 
Hadir sama, Ahli Majlis MBI Zon 8 (Kepayang), Mohammad Iskandar Abdul Rahman dan Pengerusi Rumah Pangsa Kinta Heights, Chang Kok Aun. 
 
Rumaizi berharap, sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh keluarga yang terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 
 
 
Dalam perkembangan lain, Ahli Majlis MBI Zon 12 (Canning), G Thilak Raj, menyampaikan pek makanan asas kepada 30 keluarga yang terjejas di sekitar kawasan Canning Garden Barat, Canning Garden Timur, Taman Ipoh Barat, Taman  Ipoh, Simee Barat, Simee Timur dan Taman Wah Keong. 
 
Pek makanan asas itu diagihkan kepada penduduk di perkarangan Dewan Kampung Simee hari ini bersama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) 1 dan 2 Zon 12, Ketua Kampung Kampung Simee dan Penghulu Kepayang.
 
 
Thilak Raj berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada JPP kawasan tersebut berhubung penduduk yang memerlukan bantuan akibat terkesan daripada pandemik berkenaan. 
 
"Bulan lalu, kami telah menyumbangkan 50 pek makanan asas kepada penduduk di sekitar Zon 12 manakala untuk bulan ini, JPP sedang berusaha menjejak penduduk-penduduk di sekitar zon yang benar-benar perlu dibantu. 
 
"Semoga sumbangan ini dapat meringankan sedikit sebanyak beban penduduk-penduduk di sekitar kawasan tersebut," ujarnya.