IPOH - Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) meraih kutipan RM39,050 hasil penganjuran dua program iaitu Bidaan Amal Covid-19 dan Pameran Maya C19 untuk disalurkan kepada C19 Fund. 

Program itu diadakan bagi membantu kira-kira 40 penggiat dan penggerak seni Perak khususnya yang terkesan akibat pandemik Covid-19. 

Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mencecah tempoh tiga bulan sedikit sebanyak memberi kesan kepada sebilangan penggiat dan penggerak seni di Perak. 

"Rancangan-rancangan festival, pameran dan acara seni secara fizikal yang diatur untuk mengisi tahun 2020 terpaksa dibatalkan.

"Akibat wabak itu, ruang dan peluang untuk penggiat seni mencari rezeki terbatas. 

"Justeru, PORT tampil dengan menganjurkan kedua-dua program berkenaan yang diadakan secara talian pada April dan Mei lalu. 

"Program Bidaan Amal Covid-19 bermula dari 20 April sehingga 22 April adalah koleksi bidaan barangan persendirian disumbang 100 peratus oleh komuniti seni antaranya termasuk buku-buku nadir, poster dan barang mainan. 

"Bidaan tersebut berjaya menjana kutipan sebanyak RM2,300," katanya dalam satu kenyataan media. 

Beliau berkata, Pameran Maya C19 pula diadakan mulai 28 April hingga 5 Mei lalu membabitkan tujuh orang artis kontemporari Malaysia yang menempa nama di persada seni tanah air dan antarabangsa. 

"Antara yang terlibat adalah, Wong Hoy Cheong, Juhari Said, Masnoor Ramli Mahmud, Bayu Utomo Radjikin, Chong Siew Ying, Samsudin Wahab dan Anisa Abdullah. 

"Pameran atas talian ini turut mendapat kerjasama HOM Art Trans dan sebanyak RM73,500 berjaya diraih melalui program tersebut. 50 peratus daripada kutipan itu (RM36,750) disalurkan kepada tabung C19,"jelasnya.

Menurutnya, penyerahan sumbangan secara berperingkat telah dilaksanakan mulai 15 Mei lalu.

Nur Hanim turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sepanjang program ini dijalankan. 

"Terima kasih juga diucapkan kepada penyumbang barangan bidaan Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid (Lat), Zulfadli Lod dari Kolek, Pasar Buku Ipoh, Teratak Nuromar, Ilham Works dan kumpulan artis visual, para kolektor, koleborator projek C19, Bayu Utomo dan HOM Art Trans. 

"Bantuan yang diberikan diharap dapat menyuntik semangat penggiat seni untuk terus berkarya walaupun dalam keadaan negara dilanda wabak Covid-19," ujarnya.