PARIT- Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun itu lah ujian yang perlu dihadapi oleh adik Mohd. Wasir Abdul Salam yang mengalami spina bifida atau kecacatan tulang belakang sejak dalam kandungan.

Bukan itu sahaja, anak kecil berusia setahun tiga bulan ini juga menghidap hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak serta hanya mempunyai satu buah pinggang.

Ibunya Mariana Abu, 32, berkata anak bongsu daripada empat beradik itu mula menjalani pembedahan seawal usia tiga hari bagi menutup bukaan pada tulang belakang yang bengkok. Mohd Wasir juga telah menjalani pembedahan membuang cecair di kepala seminggu selepas itu.

“Ketika ini anak saya perlu mendapatkkan rawatan susulan setiap seminggu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan dia terpaksa keluar seawal enam pagi menaiki bas.

“Kalau ke hospital buat masa ni saya naik motor dari rumah sampai ke pekan Parit. Dari pekan Parit saya naik bas sampai ke Ipoh, saya naik lagi bas lagi sekali sampai ke hospital.

“Tapi saya mesti balik dalam pukul 12 tengahari juga. Sekiranya saya terlepas menaiki bas Parit, akan menyukarkan saya kerana kitaran bas hanya ada empat jam sekali. Itu pun saya bajet RM50 je untuk pergi Ipoh sebab duit tak cukup,” katanya.

Menurut Mariana, dengan pendapatan suami sebanyak RM650 sebulan sebagai buruh di ladang kelapa sawit, dia tidak mampu untuk berulang ke hospital bagi rawatan susulan anaknya itu. Malah katanya, dia pernah berhutang bil hospital sebanyak RM150 kerana tidak mempunyai wang yang cukup.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Mariana di nombor 0821 3411 0000 4539 atau menghubungi talian 019-4569492.