KUALA KANGSAR - Program Econsave Prihatin terus melebarkan sayapnya ke luar bandaraya Ipoh dalam membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Zulqarnain Mohamad berkata, jalinan kerjasama antara Econsave dengan Kelab Sukan dan Kebajikan MPKK memberi keceriaan kepada Siti Azura Arifin,26, sekeluarga.

Keluarga tersebut mengalami kesulitan hidup selepas suaminya, Muhamad Faizal Kamarulzaman, 27, yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah hilang punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Siti Azura amat tabah menjaga dua orang anak, lelaki dan perempuan masing-masing berusia lapan dan tiga tahun.

“Anak lelaki mereka tahun lumpuh separuh badan kerana menghidap sindrom Guillain-Barre (GBS) manakala anak perempuan pula masih menyusu.

"Siti Azura bakal menimang cahaya mata ketiga tidak lama lagi. Justeru, suaminya tetap berusaha mencari pendapatan dengan melakukan kerja-kerja kampung untuk menyediakan persiapan dan perbelanjaan untuk bayi yang bakal dilahirkan,” jelasnya.

Sebelum ini, kepayahan keluarga berkenaan tular di media sosial dan rentetan itu MPKK dengan kerjasama Econsave menyampaikan sumbangan makanan asas, lampin pakai buang dan susu tepung.

Hadir sama, Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang.

Dalam perkembangan sama, Siti Azura turut mengucapkan terima kasih dan bersyukur atas bantuan yang diberikan.

“Sebelum ini anak saya terpaksa minum susu pekat dan memakai lampin kain tetapi kini, dia dapat menikmati susu tepung semula,” katanya yang tinggal di Kampung Pauh Sayong, di sini.

Siti Azura memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada memberi bantuan bulanan sebanyak RM500 namun masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian.

“Sewa rumah, bil air dan elektrik juga masih tertunggak sejak beberapa bulan lalu kerana kami tidak mampu untuk membayarnya,” ujarnya dengan hiba.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Siti Azura di talian 011-3542 5327 atau memberi sumbangan ke akaun CIMB 7631515811 (Siti Azura Binti Arifin).