IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mensyaratkan setiap pelanggan atau peniaga untuk mendaftar vaksin imunisasi Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera jika ingin berurusan di premis bangunan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkuat kuasa esok.

Perkara itu dimaklumkan melalui hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi MBI, hari ini.

Menurut kenyataan itu, setiap pelanggan yang ingin memasuki bangunan MBI untuk berurusan di kaunter dan janji temu perlu mendaftar vaksin imunisasi Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

“Peniaga yang ingin memperbaharui lesen perniagaan dan memohon Permit Penjaja Sementara (PPS) juga perlu melakukan perkara yang sama sebelum berurusan dengan MBI.

“Pegawai Majlis akan menyemak status pendaftaran vaksin MySejahtera pelanggan atau peniaga bagi memastikan mereka telah melakukan pendaftaran vaksin imunisasi Covid-19.

“Jika didapati pelanggan atau peniaga masih belum melakukan pendaftaran, mereka tidak dibenarkan berurusan dengan mana-mana jabatan di MBI,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, bagi pelanggan atau peniaga yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19, pihak MBI akan membantu mereka melakukan pendaftaran tersebut secara manual melalui borang atau secara dalam talian sekiranya mereka tidak mempunyai telefon pintar.

Kenyataan itu turut memaklumkan, setakat ini, jumlah individu di Perak yang mendaftar untuk menerima suntikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama semua agensi untuk sama-sama membantu dalam kempen ini.

“Sehubungan itu, MBI berharap supaya warga Ipoh khasnya dan rakyat di negeri Perak amnya dapat memberi kerjasama supaya pendaftaran vaksin Covid-19 dapat dipertingkatkan

“Jika 80 peratus penduduk sudah menerima suntikan vaksin, kita boleh menjalani kelangsungan hidup seperti biasa serta meningkatkan semula ekonomi negeri.

“Kerajaan dijangka mengeluarkan garis panduan kepada penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 bagi memberi lebih kelonggaran kepada golongan berkenaan,” jelas kenyataan tersebut.