IPOH - Tiga beranak tinggal terpaksa mengibarkan bendera putih apabila mereka terputus bekalan makanan akibat tidak meraih pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

P Rajeswary, 23, berkata suaminya yang bekerja sebagai buruh am kurang mendapat tawaran pekerjaan ekoran pandemik Covid-19. 
 
Katanya, sebelum ini suaminya memperolehi gaji harian antara RM30 hingga RM40, namun di saat pandemik tawaran untuk kerja amat kurang. 
 
"Bayaran bulanan motosikal yang digunakan suami untuk bekerja sudah tertunggak selama enam bulan dan ini amat membimbangkan. 
 
"Jika satu-satunya kenderaan yang kami ada ditarik, ini akan menyukarkan suami untuk bekerja," katanya ketika ditemui Peraktastic di Kampung Hock Aun, Jalan Kuala Kangsar, di sini.
 
Dia yang mempunyai anak perempuan berusia tiga tahun berkata, keluarganya perlu mencari penempatan baru memandangkan kawasan kampung tersebut akan dibangunkan oleh pihak pemaju selepas PKP. 
 
"Oleh itu, saya berharap ada pihak yang akan tampil untuk membantu menyelesaikan masalah ini dengan segera," katanya yang turut memaklumkan rumah mereka sering berhadapan dengan masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat berlaku dan atap yang bocor turut membasahi bahagian dalam kediaman mereka.
 
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Cawangan Tambun, K Dinesh berkata, pihaknya menerima permohonan bantuan kotak makanan Rajeswary melalui Google Form yang disediakan pertubuhan itu. 
 
"Selepas menerima maklumat, kami segera menghantar bantuan kotak makanan kepada keluarga berkenaan," ujarnya. 
 
Berhubung isu, keluarga tersebut perlu berpindah disebabkan kawasan kampung itu akan dibangunkan selepas PKP, Dinesh berkata, pihaknya akan meneliti perkara tersebut dan cuba mencari solusi bagi menyelesaikan masalah tersebut.