“Terima kasih Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Puan Puteri di atas usaha membantu peniaga-peniaga kecil seperti kami melalui program MBI Prihatin,” kata Ain Nuddin Mohamad Azli, 35, yang mengusahakan perniagaan ayam goreng di Jalan Tambun, di sini.

Ain Nuddin yang juga seorang pengusaha inap desa (homestay) dan motor sewa di Cameron Highlands berkata, hampir setahun perniagaannya terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Perniagaan ayam goreng ini adalah inisiatif isteri saya yang bertujuan untuk menampung tiga buah sewa homestay yang sekarang ini tidak beroperasi.

“Program MBI Prihatin ini sangat membantu pengusaha seperti kami yang memerlukan pendapatan lebih. Selain itu, program ini juga dapat mempromosikan ayam goreng kami serta berpeluang menarik pelanggan-pelanggan baru,” katanya kepada Peraktastic di sini, hari ini.

Ahli MajIs MBI Zon 2 (Hulu Kinta), Puteri Holijah Muhamad Rali berkata, kebelakangan ini terlalu banyak pengusaha-pengusaha beralih arah untuk berniaga secara kecil-kecilan setelah perniagaan utamanya mereka tergendala akibat pandemik Covid-19.

“Memandangkan kawasan saya ini mempunyai ramai peniaga-peniaga kecil, jadi dengan cara ini kita dapat membantu perniagaan mereka. Kita membeli produk mereka dan diedarkan kepada orang ramai yang juga terkesan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ayam Goreng Percuma di bawah Program MBI Prihatin ini,  membawa misi besar untuk membantu semua lapisan masyarakat sepertimana harapan Datuk Bandar mahukan nasib masyarakat yang kurang bernasib baik dibantu tanpa ada yang terpinggir.

“Sebanyak 2,000 bungkusan ayam goreng diedarkan kepada orang ramai secara pandu lalu pada hari ini. Terima kasih juga kepada Jawatan Kuasa Penduduk (JKP) yang membantu saya mengedarkan sumbangan ini sejak jam 3 petang hingga 4 petang.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan ayam goreng ataupun ayam segar boleh menghubungi Ain Nuddin di talian 019-400 5616 atau menerusi aplikasi whatsApp 016-550 1074.