IPOH - Kemiskinan hidup seorang warga emas sehingga terpaksa memasak menggunakan dapur kayu kerana tidak mampu membeli dapur gas mendapat perhatian Pasaraya Econsave. 

Sebelum ini, Peraktastic menyiarkan kisah Yip Foong Yin, 70, yang hidup sebatang kara dalam keadaan daif dan serba kekurangan di sebuah rumah usang di pinggir sungai berhampiran Taman Pakatan Jaya. 
 
Susulan itu, pihak pengurusan Econsave yang diwakili Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang dan Pengurus Econsave Cawangan Bercham, G V Rakhesh menyumbangkan dapur gas, peralatan memasak dan 10 karton air mineral seperti yang dimaklumkan pada Jumaat lalu. 
 
Selain itu, Econsave turut memberikan tambahan stok makanan kepada warga emas terbabit. 
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 14 (Pasir Pinji), Dr Richard Ng berkata, ini adalah kali ketiga beliau melawat Yip dalam tempoh lima hari dan warga emas itu kelihatan ceria ketika menerima sumbangan tersebut. 
 
 
"Selepas ini, Uncle Yip tidak perlu guna dapur kayu lagi kerana dia sudah ada dapur gas dan perkakasan baru untuk memasak. 
 
"Saya mewakili MBI mengucapkan terima kasih kepada Econsave kerana menjadi salah sebuah syarikat penyumbang MBI Prihatin bagi membantu warga Ipoh yang terkesan ekoran Covid-19.
 
"Kini, kami hanya menantikan sumbangan basikal roda tiga daripada MBI bagi memudahkan Uncle Yip bergerak ke lokasi lebih jauh untuk menjual hasil buah-buahan di kebunnya itu," katanya kepada Peraktastic. 
 
Hadir sama, tim daripada Lions Club of Perak Silver yang telah memaklumkan akan memberi bantuan susulan dalam masa terdekat.