IPOH - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak pandemik Covid-19 melanda menyebabkan ramai kehilangan punca pendapatan sehingga ada yang terpaksa mengikat perut demi meneruskan kelangsungan hidup. 
 
Sariah Ali, 73, yang tinggal bersama anak perempuan serta menantunya antara rakyat yang terkesan akibat perkara tersebut. 
 
Menurut Sariah, anak dan menantu lelakinya itu adalah orang kelainan upaya (OKU) pendengaran sejak kecil. 
 
Katanya, sebelum ini menantunya, Shahrizal Zamri, 45, bekerja sebagai pembantu di kedai makan namun terpaksa berhenti disebabkan PKP. 
 
"Kini, kami hidup bergantung kepada pencen arwah suami yang sebelum ini pernah bekerja sebagai tukang kebun sekolah manakala anak serta menantu masing-masing menerima bantuan OKU
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan," katanya ketika ditemui Peraktastic di rumahnya di Jalan Perwira, Kampung Manjoi, di sini. 
 
Dia juga memohon supaya rumahnya dibaik pulih supaya dapat disewakan bagi menambah pendapatan bulanan. 
 
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan memberikan sumbangkan kepada kami sekeluarga," katanya. 
 
Terdahulu, Sariah dikunjungi Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 4 (Manjoi) Syed Mohd Nor Hisam Syed Hassan bagi menyampaikan bantuan barangan makanan asas kepada keluarga tersebut sempena program MBI Prihatin, hari ini. 
 
 
Hadir sama, Ketua Kampung Manjoi, Mohd Kahar Mohd dan Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman. 
 
Sementara itu, Syed Mohd Nor Hisam berkata, pada masa sekarang pihaknya akan terus menjejak mereka yang memerlukan bantuan dari semasa ke semasa supaya tiada yang tercicir. 
 
Beliau berkata, program MBI Prihatin yang diilhamkan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud ini telah banyak membantu meringankan beban warga Ipoh yang terkesan sepanjang PKP. 
 
"Kami akan cuba membantu membaik pulih rumah ini supaya dalam masa terdekat," ujarnya. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Kahar memaklumkan pihaknya mendapat maklumat berhubung mereka yang memerlukan bantuan melalui jiran-jiran serta jemaah masjid dan surau. 
 
"Sejurus menerima maklumat, kami segera ke lokasi dan menyampaikan bantuan yang diperlukan khususnya pek makanan asas. 
 
"Sehubungan itu, kami berharap supaya lebih banyak syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mana-mana parti politik atau individu tampil untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan," jelasnya.