TAPAH- Tradisi memasang panjut atau pelita hiasan amat sinonim dengan masyarakat Melayu ketika menjelang hari raya Aidilfitri. Bagaimanapun tahun ini pasti berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya berikutan penularan wabak Covid-19.

Mohd Faizal Naziri, 32, menjadikan pembuatan panjut sebagai sumber pendapatannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setiap hari saya harus meredah hutan untuk mencari buluh ketika berpuasa dan badan penuh dengan miang buluh, namun demi mencari rezeki untuk keluarga saya tetap terus bersemangat.

“Mula-mula saya cuba membuat panjut ini saya tidak berapa mahir. Lepas beberapa kali mencuba akhirnya saya berjaya melakukan anyaman panjut ini. Membuat anyaman panjut ini memerlukan kesabaran yang tinggi,” katanya.

Bapa kepada dua anak ini mendapat idea menghasilkan panjut tercetus selepas majikannya menghentikan projek Telco ketika Peringkat Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selepas saya kehilangan mata pekerjaan, saya buntu memikirkan sumber pendapatan keluarga. Saya mengambil keputusan untuk mengikut penduduk Orang Asli kampung ini masuk ke hutan dan mencari buluh.

“Bermula dari situ timbul idea untuk menghasilkan panjut dan tanpa sebarang kemahiran saya berjaya dihasilkannya dengan gigih dan sabar.

Menurut Faizal, panjut yang dihasilkan secara manual sepenuhnya itu menggunakan buluh jenis betong yang dicari di kawasan hutan sekitar kampung serta rotan dengan harga 50 sen sebatang yang dibeli daripada jiran.

“Saya mengambil masa lebih kurang 10 minit menyiapkan satu unit panjut dan dapat menghasilkan sebanyak 40 unit sehari.

“Panjut yang telah siap sepenuhnya dijual pada harga RM22 untuk sepuluh batang dan RM30 jika ditempah bersama lampu minyak tanah”, katanya.

Anda yang ingin menempah panjut boleh menghubungi Faizal di talian 011-11691043.