IPOH - Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al-Harraz, di Taman Cempaka hari ini menerima sumbangan makanan asas bernilai RM2,000 menerusi program Econsave Prihatin dan MBI Prihatin.

 Sumbangan itu disampaikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud bersama Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang.

Rumaizi berkata, kerjasama MBI Prihatin dan Econsave Prihatin ini adalah pendekatan berkesan dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Kesemua bantuan yang diberi bukan sahaja melalui pelbagai sumber laporan, malah pihak pengurusan MBI juga telah menjalankan kajian menyeluruh yang merangkumi pelbagai isu semasa.

"Sewaktu pandemik Covid-19 ini, setiap permasalahan yang timbul kita akan bertindak segera menerusi strategi serampang dua mata iaitu meningkatkan kualiti perkhidmatan pembandaran serta infrastruktur dan meningkatkan kemampanan ekonomi masyarakat setempat.

"Kami juga mengalu-alukan sekiranya ada pihak dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat ataupun individu yang ingin menjalinkan kerjasama menerusi program MBI Prihatin bagi membantu golongan yang memerlukan," katanya," katanya kepada Peraktastic, hari ini.

Sementara itu, Yong Chiang berkata, sepanjang berkerjasama dengan MBI, beliau telah banyak melihat pelbagai masalah di celah-celah kehidupan masyarakat kota khasnya.

"Inilah masa untuk kami turun membantu masyarakat bersama MBI selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sentiasa prihatin terhadap warga kota yang diuji dengan pelbagai ujian kehidupan disebabkan pandemik Covid-19 ini," katanya.

Pengurus Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al-Harraz, Norizan Razali pula berkata sumbangan yang diterima itu sememangnya banyak membantu dari segi perbelanjaan seharian.

"Sumbangan ini amat besar ertinya kepada semua penghuni di sini. Terima kasih kepada MBI dan Econsave yang sentiasa prihatin kepada kami sejak sekian lama," katanya.