Econsave, MBI tampil bantu keluarga kibar bendera putih
- Details
- Komuniti
- Hits: 728
IPOH - Econsave dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tampil membantu tiga beranak yang terpaksa mengibarkan bendera putih akibat terputus bekalan makanan di Kampung Hock Aun, Jalan Kuala Kangsar di sini, hari ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud bersama Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang dan Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shan Effendy Rosman menyampaikan sumbangan makanan basah dan kering kepada keluarga berkenaan.
Pemberian sumbangan itu adalah di bawah program MBI Prihatin dan Econsave Prihatin yang diadakan secara berterusan bagi meringankan beban keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Cawangan Tambun, K Dinesh.
V Jakathivaran, 24, bersama isterinya, P Rajeswary, 23 dan anak perempuan mereka yang baru berusia tiga tahun kelihatan gembira selepas menerima bantuan tersebut.
"Kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang amat bermakna ini," kata Jakathivaran.
Dia yang sebelum ini bekerja sebagai tukang pasang pelamin hilang punca pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Selepas diberhentikan kerja, saya bekerja sebagai buruh am dan mendapat gaji harian. Bagaimanapun, sejak PKP tawaran kerja amat kurang sehingga menyebabkan kami menghadapi masalah kewangan," jelasnya.
Bapa kepada seorang anak itu turut bimbang apabila mereka sekeluarga diarahkan berpindah daripada rumah yang didiami apabila pihak pemaju bakal membangunkan kawasan kampung tersebut.
"Sehubungan itu, saya berharap masalah ini dapat diatasi dan memohon diberikan penempatan baru supaya kami sekeluarga dapat berpindah dengan segera," ujarnya.
Sebelum ini, Peraktastic telah menyiarkan kisah keluarga terbabit yang boleh dibaca di pautan http://peraktastic.com/p1/ index.php/komuniti/882-hilang- punca-pendapatan-terpaksa- kibar-bendera-putih.html
