Wang hangus, rebat tidak dapat!
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 1646
IPOH- Hampir 20 orang peniaga kioks di Pasar Raya Mydin Meru Raya meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa membayar sewa bulanan tanpa menerima rebat seperti yang diharapkan.
Noratikah Muhd Umar, 26, salah seorang peniaga pakaian sejak 2018 berkata, dia tidak berpuas hati dengan kenyataan Scenic Prima Sdn Bhd berhubung pembayaran sewaan yang telah dilunaskan dan dikatakan hangus begitu sahaja.
“Saya telah menjelaskan bil sewaan sebanyak RM4,000 untuk bulan Mei walaupun hanya berniaga empat hari dalam masa sebulan tanpa sebarang keuntungan.
“Sekarang dua bulan perniagaan kami tidak beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0). Paling menyedihkan kami diminta membayar jumlah yang sama sekiranya ingin meneruskan perniagaan apabila berakhir PKP. Jika tidak, kami diarahkan gulung tikar.
“Kami berharap pihak pengurusan dapat memberi rebat ataupun diskaun bagi meringankan bebanan kami,” katanya dalam sidang media di atas bantahan sewaan tapak niaga Pasar Raya Mydin Meru, di sini, hari ini.
Scenic Prima Sdn Bhd adalah syarikat yang menguruskan sewa tapak niaga dan sewa kedai di Pasar Raya Mydin Meru Raya . Difahamkan hampir 100 orang penyewa telah menyewa tapak niaga termasuk kedai.
Sementara itu, wakil pengurusan Scenic Prima Sdn Bhd gagal memberi sebarang kenyataan berhubung rungutan peniaga terbabit, sebaliknya diminta merujuk kepada pihak pengurusan ibu pejabat Mydin.
Ketua Bahagian Pengurusan Harta dan Fasiliti Mydin Mohamed Holding, Mohd Azwan Ahimmat ketika dihubungi berkata, pihak pengurusannya telah membuat permohonan kepada pemilik bangunan untuk pemberian rebat kepada peniaga-peniaga terbabit bagi bulan Jun dan Julai.
“Pihak pengurusan Mydin telah memberikan pengecualian bayaran 100 peratus dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.2 juta kepada Scenic Prima Sdn Bhd pada PKP 1.0, manakala pada PKP 2.0 tiada rebat diberikan. Sepatutnya rebat yang kita berikan ini diberikan kepada penyewa juga.
"Sewaktu PKP 3.0 sebanyak 30 peratus rebat turut diberikan kepada pengurusan tersebut bagi cawangan Mydin Bukit Jambul dan Pulau Pinang manakala cawangan lain akan diumumkan kemudian berikutan situasi COVID-19 tidak menentu serta perniagaan yang terjejas.
"Kami tidak mengetahui sama ada rebat itu turut diberikan kepada penyewa atau sebaliknya kerana ia di luar bidang kuasa pihak Mydin," jelasnya.