Warga emas mohon baiki rumah hampir reput
- Details
- Komuniti
- Hits: 688

IPOH - Seorang warga emas yang hidup bersendirian di sebuah rumah kayu hampir reput memohon supaya kediaman itu dibaiki segera demi keselamatan dirinya.
Chan Wai Leong, 60, yang berasal dari Pulau Pinang pindah ke Kampung Lata, Tambun kira-kira 40 tahun lalu.
Adik lelakinya, Chan Chen Mun, 56, berkata dia amat bimbang akan keselamatan abangnya yang tinggal bersendirian di rumah tersebut kerana menghidap penyakit darah tinggi serta mempunyai masalah pendengaran.
Dia memaklumkan, abangnya pernah cuba memohon untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun permohonan itu tidak berjaya.
"Sebelum ini, rumah berkenaan pernah dimasuki pencuri. Mujur, abang saya tidak diserang pencuri terbabit.
"Saya juga bukan orang senang. Tambahan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pendapatan saya sebagai tukang besi turut terjejas.

"Bagaimanapun, saya tetap cuba sedaya upaya membantu abang setakat termampu seperti menghantar makanan kepadanya setiap hari," katanya yang tinggal bersama keluarganya di tempat lain.
Chen Mun berkata, keadaan kayu yang reput serta tandas rosak boleh mengancam keselamatan abangnya terutamanya sewaktu angin kuat dan hujan lebat.
"Saya harap rumah ini boleh dibaik pulih supaya abang dapat hidup dalam keadaan selamat," ujarnya.
Nasib Wai Long mendapat perhatian Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman yang mendapat maklumat berhubung perkara itu melalui Pengerusi Masyarakat Cina Kampung Lata, James Cheang Chi Wah.
Mazlan tampil menyumbangkan barangan makanan asas kepada warga emas itu pada program MBI Prihatin yang diadakan baru-baru ini.
Menurut Mazlan, pihaknya akan mencari solusi berhubung masalah kerosakan rumah itu bagi memastikan warga emas terbabit dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa dan selamat.
