Datuk Bandar tinjau laman hidroponik MBI
- Details
- Komuniti
- Hits: 811

IPOH - Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud meluangkan masa meninjau projek pertanian bandar melalui cara penanaman teknologi hidroponik di perkarangan Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini.
Hadir sama mengiringi beliau adalah Pengarah Perancang Bandaraya, Mohd Zainal Abdul Hamid.
Projek yang mula diusahakan pada 12 Jun tahun ini, bertujuan untuk memupuk kesedaran dan minat kakitangan MBI terhadap kepentingan pertanian dalam bandar.
Selain itu, warga MBI turut dapat mendapat manfaat melalui Laman Hidroponik ini dengan memperolehi sayur-sayuran segar di sini.
Rumaizi berkata, untuk fasa percubaan, mereka menanam pelbagai jenis salad antaranya crispy leaf, lolla bioda, oakleaf, butterhead, dan batavia.
"Selepas ini, baru kita tanam sayur-sayuran lain seperti pak choy, sawi, tomato dan sebagainya mengikut kesesuaian," katanya.
Menurutnya, setakat ini terdapat enam unit tanaman menggunakan konsep hidroponik melalui sistem HLT (hygrowpot link technique) dan enam unit lagi akan ditambah pada fasa kedua.
"Bagi fasa pertama, sayur-sayuran ini akan diagihkan kepada kakitangan MBI dan pada fasa seterusnya dijangka akan diberikan kepada orang awam," ujarnya.

Terdahulu, Rumaizi meluangkan masa meninjau operasi Pengeluaran Permit Penjaja Sementara (PPS) secara pandu lalu di Persiaran ICC Bandaraya 2, di sini.
Tinjauan itu turut dihadiri Pengarah Kesihatan Bandaraya, Mohd Alias Kamarudin dan Ketua Penolong Pengarah Kesihatan-Perkhidmatan Bandar MBI, S Manisegaran.
