MBI Prihatin - Teduhan rezeki, agih 500 kg ikan kembung secara percuma
- Details
- Komuniti
- Hits: 938

IPOH - Pertubuhan Muafakat Sejahtera Kinta dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bekerjasama mengedarkan 500 kilogram (kg) ikan kembung segar secara pandu lalu pada program Teduhan Rezeki MBI Prihatin yang diadakan di Kampung Rapat Jaya Tambahan, di sini, hari ini.
Program itu diadakan di hadapan kediaman Muhammad Nasrun Nurul Anuar, 51, iaitu perantara kepada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan sumbangan untuk pembelian ikan-ikan tersebut.
Menurutnya, ikan kembung segar itu tiba dari Kuala Muda, Kedah kira-kira jam 5 pagi tadi.
Katanya, idea itu tercetus apabila melihat ramai penduduk terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).
"Sebelum ini, kami pernah menyumbangkan bakul makanan yang mengandungi barangan kering kepada golongan memerlukan malah ramai juga turut memberi bantuan yang sama.
"Jadi, kita mengambil inisiatif untuk mengedarkan barang basah pula memandangkan pemberian ini amat kurang," katanya.
Dia berkata, berikutan itu, satu tabung dana infaq untuk barangan basah diwujudkan di bawah Teduhan Rezeki supaya program sama dapat dilakukan pada masa hadapan.
"Kita bercadang untuk membuat program sama pada hari Jumaat setiap minggu di lokasi berlainan. Jika dana yang diperoleh mencukupi, mungkin selepas ini kita boleh edarkan ayam dan daging secara percuma," jelasnya.
Sementara itu, Fatimah Juki, 78, yang tinggal di kampung berkenaan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
"Sekarang nak pergi kedai susah disebabkan PKP. Syukur Alhamdulillah ada pihak yang bermurah hati untuk menyumbang ikan secara percuma pada hari ini," katanya.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan Ahli Majlis MBI Zon 21 (Sungai Rapat), Abu Bakar Hussian turut bersama-sama meluangkan masa mengedarkan satu kg ikan kembung kepada setiap kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.
Agihan ikan yang bermula jam 7.30 pagi itu berakhir dua jam kemudian.
