IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan cadangan atau idea bersesuaian bagi penyediaan input Bajet 2022.
 
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, ini adalah salah satu usaha MBI dalam merencanakan bajet yang berorentasikan masyarakat.
 
Beliau berkata, skop cadangan yang diusulkan boleh merangkumi pemulihan semula ekonomi masyarakat tempatan serta peningkatan kualiti dan kuantiti pembersihan dan penyelenggaraan bandar.
 
"Jika terdapat lain-lain cadangan atau idea yang dapat membantu dalam pembangunan dan kesejahteraan di bandar raya ini, warga Ipoh amat digalakkan untuk berbuat demikian," katanya. 
 
Menurutnya, cadangan atau idea Bajet 2022 itu boleh disalurkan warga Ipoh dengan melayari laman sesawang rasmi MBI di http://www.mbi.gov.my/ms/hubungi-kami/maklum-balas/cadangan-bajet-2022 
 
Tambahnya, penduduk di bandaraya ini juga boleh mengimbas QR code yang disediakan dan cadangan ini akan tamat pada Rabu, 4 Ogos depan. 
 
"Warga Ipoh boleh menggunakan platform ini dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan dan keharmonian kita bersama," katanya. 
 
Terdahulu, Rumaizi menghadiri Sesi Townhall Dialog Bajet 2022 yang diadakan di Facebook Live MBI pagi tadi.