Dataran Taman Malar dapat 2 khemah baharu
- Details
- Komuniti
- Hits: 642
IPOH - Penduduk di Taman Malar serta Taman Hiburan dan Bagus di kawasan Hulu Kinta menerima dua khemah baharu yang dipasang di Dataran Taman Malar hasil sumbangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, pemberian khemah itu adalah bagi menggantikan khemah lama yang rosak akibat dipukul ribut kira-kira dua bulan lalu.
Menurutnya, dataran tersebut sering digunakan oleh penduduk setempat untuk berkumpul bagi mengadakan majlis keramaian seperti kenduri dan aktiviti kemasyarakatan.
"Terdapat lebih 800 penduduk di kedua-dua taman ini dan kebanyakkan yang tinggal di sini terdiri daripada pesara tentera.
"Dataran ini pula boleh memuatkan 400 orang pada satu-satu masa dan khemah tersebut amat diperlukan bagi melindungi mereka daripada panas dan hujan ketika aktiviti keramaian berlangsung," katanya kepada Peraktastic hari ini.
Beliau berkata, selain pemberian dua khemah baharu itu, pihaknya turut memasang bekalan elektrik di dataran berkenaan.
"Semoga pemasangan khemah baharu yang dilengkapi bekalan elektrik ini akan dimanfaatkan penduduk setempat sebaik mungkin bagi melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah pada masa akan datang," jelasnya yang memaklumkan kos untuk khemah baharu dan pemasangan bekalan elektrik itu adalah sebanyak RM7,000.