IPOH - Seramai 81 kumpulan pemuzik jalanan atau busker di Perak menerima sumbangan pek makanan kering daripada kerajaan negeri melalui Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) hari ini. 
 
Ahli Lembaga Pengarah PORT, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pemberian sumbangan ini bertujuan untuk membantu penggiat seni di Perak bukan sahaja dalam kalangan busker malah untuk anak-anak seni lain yang turut terkesan ekoran pandemik Covid-19. 
 
Menurutnya, pelbagai usaha dilaksanakan PORT bagi membolehkan penggiat seni ini terus melakukan aktiviti mereka walaupun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 
 
"Aktiviti seni dilihat agak berkurangan sejak pandemik Covid-19 dan ramai yang terkesan dengan keadaan ini. PORT yang mewakili kerajaan negeri akan berusaha mencari anak-anak seni yang terkesan untuk diberikan bantuan serta perhatian. 
 
"Pada masa sama, kita membuat program melalui platform media sosial secara maya supaya mereka dapat meneruskan aktiviti masing-masing. 
 
"Apa yang kita sumbangkan pada hari ini adalah keprihatinan kerajaan negeri melalui PORT kepada Busker di Perak," jelasnya. 
 
Beliau ditemui Peraktastic ketika menyampaikan sumbangan pek makanan kering kepada dua wakil persatuan busker di negeri ini. 
 
Wakil terbabit adalah Timbalan Pengerusi Sahabat Penghibur Jalanan Malaysia, Mohd Rani Ariffin dan Timbalan Setiausaha Perak Buskers Community, Muhammad Nor Azlizam Azrin. 
 
Hadir sama, Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin dan Pengurus PORT, Syed Zarul Hisham Syed Khairuddin
 
Dalam perkembangan berkaitan, Zainol Fadzi berkata, ada dalam kalangan penggiat seni yang diberi bantuan dalam bentuk kewangan berdasarkan kes-kes tertentu mengikut kemampuan PORT. 
 
Bagaimanapun, beliau menegaskan PORT bukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi mereka membantu penggiat seni ini melalui situasi 'menang-menang'. 
 
"Kita akan bagi platform untuk mereka mengadakan aktiviti seni di media sosial dan berikan sedikit imbuhan sebagai tanda sokongan kepada masalah yang dihadapi itu. Perkara itu sedang dilaksanakan dari semasa ke semasa," ujarnya.