IPOH - Masyarakat Islam di bandar ini meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha secara sederhana tahun ini mengikut norma baharu berikutan kebimbangan pandemik Covid-19.

Tinjauan di sekitar bandar raya ini mendapati suasana di masjid dan surau yang biasanya meriah dengan ibadah korban sunyi disebabkan pematuhan pada prosedur operasi standard (SOP) sambutan.

Solat sunat Aidiladha pula bermula seawal jam 8 pagi di kebanyakan masjid atau surau dengan jemaah mengikut SOP dengan seliaan pihak jawatankuasa dilantik.

Selesai khutbah, tiada lagi bersalaman sesama jemaah cuma sekadar menyapa untuk mengucapkan selamat hari raya sebelum masing-masing beredar.

Di Masjid Sultan Idris Shah II atau Masjid Negeri pula, solat sunat Aidiladha bermula pada jam 8.30 pagi diimankan oleh Iman Besar, Abd Farid Salleh.

Sementara itu, sepertimana arahan yang dikeluarkan hanya 20 petugas dibenarkan bagi setiap sesi pelaksanaan ibadah korban dan akikah di Perak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Jumlah tersebut termasuk ahli jawatankuasa kariah masjid atau surau dan jawatankuasa korban.

Masa penyembelihan pula ditetapkan sebanyak dua sesi iaitu bagi hari pertama bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari manakala sesi kedua bermula jam 2 hingga 6 petang.

Bagi hari kedua hingga keempat, masa penyembelihan bagi sesi pertama bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari manakala sesi kedua pula sama seperti hari pertama.

Sementara itu, dalam kalangan masyarakat Muslim sendiri, sambutan tahun ini bagi mereka terbatas dengan SOP sambutan tetapi tetap bersyukur kerana ibadah korban dibenarkan.

Penduduk di Tambun, Mohd Zulhelmi Zulkifli, 38, berkata, ibadah korban tetap ditunaikan dengan pematuhan kepada SOP.

Katanya, peluang dapat menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid dirasakan penuh kesyukuran berbanding solat di rumah semasa Aidilfitri lalu.

"Sepertimana orang lain, sambutan hanya dibuat secara kecilan sahaja bersama ahli keluarga tanpa majlis rumah terbuka dan sebagainya.

“Rakyat faham dengan situasi sekarang dan berharap pandemik ini berakhir,” katanya.

Kesedihan turut dikongsi penduduk di Rapat Setia, Mohd Rozaimi Mutalib, 47, yang menyambut Aidiladha bersama isteri dan dua anaknya kerana tidak dapat pulang menziarahi keluarga.

"Walaupun rumah mak di Taiping tetapi kita tak dibenarkan ziarah disebabkan larangan rentas daerah.

"Apa pun kita tetap bersyukur dapat meraikan Aidiladha secara sederhana dan menggantikan ziarah dengan panggilan telefon atau panggilan video sahaja," ujarnya.