MBI Prihatin - Sumbangan lemang ceriakan penduduk terkesan sambut Aidiladha
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 611
IPOH - Penduduk Chemor dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chepor menerima sumbangan lemang dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut esok.
Ahli Majlis MBI Zon 3 (Manjoi), Mohammad Sharif berkata, sumbangan menerusi program MBI Prihatin ini selain membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, ianya juga mampu mengeratkan silatulrahim antara penduduk setempat dengan MBI.
“Sejak pandemik Covid-19 melanda, kita tidak dapat meraikan perayaan Aidilfitri dan Aidiladha seperti sebelum ini. Justeru, saya berharap kita dapat berkongsi keceriaan dan kesyukuran melalui sumbangan ini walaupun ada dalam kalangan antara ahli keluarga yang tidak dapat pulang berhari raya bersama.
“Berikutan suasana pandemik yang tidak menentu, kita berharap semua warga kota khasnya di daerah Chepor dan Chemor sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya jangkitan virus Covid-19 dapat dibendung.
“Sebelum ini kita menyumbangkan bantuan berbentuk kotak makanan dan akan terus mendekati masyarakat yang terjejas sekiranya wabak ini berterusan,” katanya kepada Peraktastic selepas menyampaikan sumbangan lemang di dua kawasan terbabit, hari ini.
Penyampaian sumbangan itu telah dilakukan di Surau Al Hidayah, RPT Chepor dan di Dewan Perpaduan Kawasan Rukun Tetangga Pekan, Chemor dengan masing-masing menerima 100 batang lemang.
Pengerusi Surau Al Hidayah, Baharum Mohd Yusof, 67, berkata sumbangan tersebut amat bermakna kepada penduduk-penduduk RPT Chepor terpilih sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.
“Hari ini seramai 15 orang menerima lemang dan selebihnya akan dsampaikan kepada penerima melalui Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP).
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Majlis MBI, Mohammad Sharif yang sentiasa prihatin dan sentiasa bersedia mendengar permasalahan penduduk di sini,” katanya.
Sementara itu Pengerusi JPP Chemor, Datuk Hulam Rasul Nadar Khan berkata, pihaknya menyambut baik dan bersyukur di atas sumbangan lemang dari Ahli Majlis MBI yang sememangnya dapat meringankan sedikit perbelanjaan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha esok.
“MBI selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa prihatin terhadap masyarakat terutamanya sewaktu pandemik Covid-19. Selain itu, program MBI Prihatin juga telah banyak membantu masyarakat yang terjejas terutamanya dari segi ekonomi. Semoga usaha murni ini akan diteruskan pada masa hadapan.
“Saya berharap masyarakat khasnya penduduk Chemor sentiasa memastikan keselamatan diri sendiri dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan. Marilah kita bersama-sama membanteras wabak Covid-19,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Jawatankuasa Perwakilan Penduduk, Chemor Karim Mohd Ismail.