IPOH- Program MBI Prihatin turut membuka peluang kepada pelbagai syarikat untuk tampil bersama-sama membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin@Md Daud berkata penglibatan syarikat-syarikat korporat dengan Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) melalui program MBI Prihatin amat dialu-alukan.

“Hari ini seramai 100 orang menerima bantuan berupa makanan asas. Ianya merupakan kerjasama Syarikat Pinji Botanic dengan Ahli Majlis MBI Zon 24. Usahasama ini bukan sahaja memberi sokongan terhadap program MBI Prihatin malah ianya dapat membantu lebih ramai masyarakat yang terkesan sekarang.

“Saya berharap agar banyak lagi syarikat korporat tampil untuk berkerjasama dengan MBI. Semoga hasrat kita membantu masyarakat yang berbilang bangsa terutama sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini terus terlaksana,” katanya selepas menyampaikan bantuan makanan di Eco Botani, hari ini.

Hadir sama Ahli Majlis MBI Zon 24 (Botani), Azmi Murad Mohamad Yusof; Pengurus Pentadbiran Kumpulan Pinji Botanic Sdn. Bhd., Lee Chalk Hian dan Ketua Pasukan Polis Bantuan, Sarjan Mejar Mohd Jaafar Mohd Sultan.

Mohd Hafiz,34, dari Kampung Sengat berkata bantuan yang diterima itu sememangnya meringankan perbelanjaan hariannya.

“Sekarang sudah masuk dua bulan saya tidak berkerja disebabkan PKP. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin dan ini juga memberi semangat kepada kami untuk terus tabah melalui waktu sukar ini,” katanya.