Tak mampu bayar kos ujian DNA untuk dapatkan MyKad
- Details
- Komuniti
- Hits: 2390

IPOH - Seorang penjual barangan lusuh dan kitar semula berdepan kesukaran untuk mendapatkan kerja tetap apabila dia tidak mempunyai kad pengenalan (MyKad) sejak berusia 12 tahun.
L Elango, 40, yang dilahirkan di Buntong, perlu menjalani ujian asid deosiribonukleik (DNA) bersama kakak dan adik perempuannya supaya dapat mengesahkan hubungan kekeluargaan antara mereka tiga beradik.
Bagaimanapun, bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata, dia tidak mampu untuk membayar kos bagi menjalani prosedur tersebut yang bernilai RM1,700.
"Saya dan isteri sudah beberapa kali ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak dengan membawa dokumen lengkap bagi membuat permohonan daftar lewat MyKad namun masih tidak berjaya sehingga ke hari ini," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, isterinya, M Mariaman, 45, berkata, masalah dialami suaminya itu secara tidak langsung menyukarkan mereka sekeluarga untuk mendapat sumber kewangan yang stabil bagi menampung kehidupan harian.
"Sebelum ini, suami memperolehi pendapatan harian melalui jualan barangan lusuh dan kitar semula yang dikutip di sekitar kawasan berhampiran.
"Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pendapatan suami terjejas sehingga kami terpaksa mengibarkan bendera putih kerana tidak mampu untuk membeli makanan akibat ketiadaan wang.
"Malah, sewa rumah, bil elektrik dan air serta bayaran ansuran motosikal turut tertunggak selama beberapa bulan," ujarnya.

Mariaman berkata, rumah sewa mereka juga terdedah kepada bahaya kerana terletak bersebelahan sungai dan pernah dimasuki air dan ular sawa sewaktu hujan lebat.
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 6 (Buntong), A Jayagopi berkata, pihaknya akan sedaya upaya membantu keluarga terbabit untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan segera.
"Jadi, kita akan mencari jalan terbaik untuk membantunya menyelesaikan kos pembayaran bagi menjalani ujian DNA memandangkan dia dikategorikan sebagai golongan kurang berkemampuan," jelasnya.Jayagopi yang juga Ketua MIC Ipoh Barat turut menyampaikan bantuan kotak makanan kepada keluarga tersebut.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Cawangan Tambun, K Dinesh, yang telah menjejaki keluarga terbabit sewaktu mereka mengibarkan bendera putih baru-baru ini.
