Datuk Bandar sumbang pek makanan, tinjau PKTK PKPD Medan Klebang Restu
- Details
- Komuniti
- Hits: 1004

IPOH - Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan Klebang Restu, Mukim Chemor, petang tadi.
Rumaizi tiba kira-kira jam 3.20 petang dan kemudian mendengar taklimat ringkas dari petugas mengenai situasi terkini di kawasan berkenaan.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan 110 pek makanan asas kepada Pegawai Penyelaras Bekalan Makanan PKPD Medan Klebang Restu, Leftenan (PA) Syed Azizul Syed Tarmizi di Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Bekalan Makanan PKPD Medan Klebang Restu di Sekolah Kebangsaan Kelebang Jaya, di sini.
Menurutnya, bantuan ini adalah kerjasama antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama rakan strategik Pasar Raya Econsave Cawangan Jelapang melalui program MBI Prihatin dan Econsave Prihatin.
"Kita akan bantu apa yang boleh kita bantu dan jika ada keperluan, kita akan menambahnya dari semasa ke semasa.
"Sehubungan itu, kita berharap semuanya akan diselesaikan dalam masa terdekat dan penduduk dapat mematuhi segala arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya kepada Peraktastic.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Nurul Iman, Datuk Aminuddin Md Hanafiah; Ahli Majlis MBI Zon 5 (Manjoi) Datuk Azizul Kama Abd Aziz; Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang dan Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman.
Sementara itu, pegawai bertugas di PKTK PKPD Medan Klebang Restu, Inspektor Mechelle Emass berkata sehingga kini kawasan terbabit masih berada dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, seramai 14 anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh serta enam anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditugaskan di enam pos Pengawal sekitar Medan Klebang Restu.
"Setakat ini, seramai 96 orang telah menjalani swab test (ujian calitan) Covid-19 dan 41 daripadanya disahkan positif," jelasnya.
