IPOH- Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin @ Md Daud meneruskan program MBI Prihatin dengan menyampaikan bantuan kepada petugas barisan hadapan.

Sumbangan berupa 480 bungkusan makanan termasuk air mineral ditaja bersama oleh Econsave di bawah Program Econsave Prihatin.

Rumaizi berkata anggota polis merupakan petugas barisan hadapan yang mengharungi pelbagai cabaran terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini.

“Sumbangan ini sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada anggota polis khususnya yang bertugas di setiap sekatan jalan raya tanpa mengira siang dan malam.

“Pihak MBI dan Econsave berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat melancarkan tugas seharian para anggota polis demi menjaga keselamatan masyarakat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang dan Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan berkata sumbangan itu memberi erti yang besar kepada semua anggota polis di IPK.

 “Ini merupakan suntikan semangat dan sokongan moral selain meringankan sedikit bebanan anggota kami. Terima kasih kepada pihak MBI dan Econsave terhadap keprihatinan yang diberi,” ujarnya.