IPOH - Sebanyak 10,000 Jalur Gemilang diedarkan secara serentak secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta sekatan jalan raya (SJR) di 13 daerah seluruh negeri Perak, hari ini. 

Jalur Gemilang itu diagihkan kepada rakyat negeri ini dalam pelbagai bentuk termasuk pelekat magnet, bendera tangan serta rumah.  
 
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, sebelum ini kebanyakkan kenderaan menggunakan kaedah bendera kereta namun tidak bertahan lama serta sering bertebaran di jalan raya. 
 
Bagaimanapun, kita tidak menghalang penggunaan bendera jenis itu tetapi perlu ditambah baik dari segi daya tahan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2021 di PPV Stadium Indera Mulia Ipoh, pagi ini. 
 
Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; Pengarah Penerangan Perak, Mohd Taip Ubah dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud. 
 
 
Menurutnya, kempen berkenaan adalah kerjasama antara kerajaan negeri, Jabatan Penerangan Negeri Perak, Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 
 
"Melalui kempen itu, kita dapat menanam semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat dan menzahirkannya dengan meletakkan Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing walau dalam apa jua keadaan. 
 
"Kita juga akan meneruskan aktiviti lain antaranya pertandingan nyanyian, sajak, pidato, melukis dan mewarna sempena bulan kemerdekaan ini secara dalam talian sejajar dengan norma baharu," jelasnya. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya turut bercadang untuk menjayakan bulan kemerdekaan dengan nyanyian lagu Negaraku menggunakan pembesar suara yang dipasang di atas kenderaan dan bergerak di sekitar kawasan perumahan. 
 
"Penduduk di kawasan perumahan boleh mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu kebangsaan hanya di dalam perkarangan rumah sebagai menunjukkan tanda cinta kepada negara," ujarnya. 
 
Sementara itu, Khairul Shahril berkata, terdapat trend dalam kalangan rakyat Malaysia yang mengibarkan bendera Palestin di rumah atau premis perniagaan bagi menunjukkan tanda solidariti kepada negara berkenaan. 
 
"Kita bukan menghalang (kibar bendera Palestin), kalau boleh kena ada dua-dua bendera (Jalur Gemilang turut ada dipasang seiring dengan bendera Palestin)," katanya.