IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Pasar Raya Econsave menghulurkan sumbangan 65 pek makanan asas kepada penduduk di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Pulai Jaya, Mukim Sungai Raia pada Ahad.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, pemberian pek bantuan itu adalah bagi meringankan beban penduduk di kawasan berkenaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan setiap hari.

"Hari ini, kita sekali lagi bekerjasama dengan Pasar Raya Econsave di bawah program MBI Prihatin untuk menyampaikan sumbangan pek makanan asas dan dibantu Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) untuk kerja-kerja pengagihan kepada penduduk yang memerlukan," katanya. 

Beliau ditemui media selepas menyampaikan bantuan tersebut di  Pejabat Penghulu Mukim Sungai Raia, di sini. Hadir sama, Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang dan Penghulu Mukim Kinta, Dr Mohd Sani Kamaruddin.

Sementara itu, Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli mengucapkan terima kasih kepada Rumaizi dan MBI atas sumbangan tersebut. 

Menurutnya, PKPD Bandar Pulai Jaya membabitkan 4,476 penduduk yang tinggal di 1,020 premis kediaman dan 48 premis rumah kedai. 

"Terima kasih diucapkan kepada Datuk Bandar dan MBI yang menghulurkan sumbangan serta menunjukkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa saling bantu membantu antara satu sama lain.

"Selain itu, kita turut menerima kotak barangan daripada saudara mara penduduk terkesan akibat PKPD yang dikumpulkan di Pejabat Penghulu Mukim Sungai Raia sebelum diagihkan kepada penerima.

"Penghantaran bantuan makanan dan kotak barangan ini dilaksanakan pasukan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan MDBG pada setiap hari mengikut jadual ditetapkan," jelasnya. 

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah selesai mengagihkan bantuan kotak makanan asas yang disumbangkan kerajaan negeri.

"Bekalan makanan untuk penduduk di kawasan PKPD ini dijangka mencukupi memandangkan kita sentiasa menerima sumbangan kotak makanan daripada pelbagai pihak antaranya parti politik serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari semasa ke semasa," katanya.

Selain bantuan pek makanan asas kepada penduduk terjejas ekoran PKPD, sebanyak 240 unit air mineral, maggi dan biskut turut diberikan kepada petugas barisan hadapan pada hari ini.