IPOH - Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 11 (Bercham) Ho Wai Mun dengan kerjasama Malaysia Social Entrepreneurs Foundation menyediakan 400 pek makanan percuma setiap hari kepada orang ramai bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19. 

Menurutnya, pemberian makanan percuma ini diadakan setiap hari pada waktu makan tengah hari dan malam selama tiga bulan bermula akhir bulan lalu. 
 
Katanya, setakat ini mereka mengagihkan 200 pek makanan pada setiap sesi kepada penduduk di Flat Taman Pakatan Jaya dan Flat Taman Mewah, Bercham. 
 
"Kami menyediakan pek makanan halal yang dimasak oleh sebuah restoran di sini dengan pelbagai jenis lauk pauk antaranya ayam, ikan dan sayur-sayuran. 
 
"Pek makanan ini diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, agama dan status.
 
 
"Pemberian pek makanan ini adalah inisiatif kita untuk membantu golongan terkesan terutamanya pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," ujarnya kepada Peraktastic hari ini. 
 
Beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan mana-mana pihak sama ada individu, syarikat korporat atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin bekerjasama bagi menjayakan program ini. 
 
"Buat masa ini, kita hanya menerima tajaan daripada NGO Malaysia Social Entrepreneurs Foundation dan berharap lebih ramai pihak akan tampil membantu pada masa hadapan," jelasnya.