IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dijangka akan menambah unit rumah transit di Rumah Pangsa Waller Court di sini mengikut keperluan semasa jika tempoh percubaan bagi membantu golongan miskin mengejut ini berjaya.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, MBI akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah dilantik bagi memperincikan perkara tersebut sebelum rumah transit itu sedia untuk diduduki mereka yang layak pada Ogos ini.

Katanya, setakat ini hanya lima unit rumah transit di Blok G, Rumah Pangsa Waller Court yang mempunyai satu bilik dan satu bilik air serta lengkap dengan perabot, dapur termasuk barangan makanan disediakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit.

“Bantuan ini boleh dipanjangkan kepada mereka yang tinggal di bandar-bandar sekitar Ipoh seperti Batu Gajah, Kampar dan Kuala Kangsar.

“Dalam sebulan dua, kita dudukkan mereka di sini dan dalam tempoh itu mungkin mereka boleh dapat peluang-peluang lain atau apabila mereka dah stabil nanti, mereka boleh keluar,” jelasnya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan pek makanan asas kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bandar Pulai Jaya di Pejabat Penghulu Mukim Sungai Raia, hari ini.

Selain bantuan pek makanan asas kepada penduduk terjejas ekoran PKPD, sebanyak 240 unit air mineral, maggi dan biskut turut diberikan kepada petugas barisan hadapan pada hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli; Penghulu Mukim Kinta, Dr Mohd Sani Kamaruddin dan Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata pihaknya akan memfokuskan golongan miskin mengejut yang terdiri dalam kalangan M40 dan T20 memandangkan mereka tidak tersenarai dalam eKasih atau mendapat mana-mana bantuan lain.

“Justeru, mereka ini yang perlu dibantu segera dan jika perlu tambahan (unit rumah pangsa), kita akan baik pulih dan kita akan buka,” ujarnya.

Jumaat lalu, Rumaizi mengumumkan mengenai inisiatif menyediakan rumah transit tersebut pada Mesyuarat Penuh MBI Bulan Julai di Dewan Mesyuarat MBI di sini.

Bagaimanapun, rumah transit itu bukan disediakan untuk golongan gelandangan memandangkan MBI mereka sudah mempunyai penempatan sementara di Bangunan Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah di Jalan Kompleks Sukan Ipoh.