IPOH - Penderitaan dialami bekas jururawat, C Logapusnam, 35, yang sukar untuk bergerak akibat 'necrotizing faciitis' di kaki kanannya berpunca daripada penyakit diabetes mendapat perhatian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pasar Raya Econsave, hari ini. 
 
Ahli Majlis MBI Zon 11 (Bercham), Ho Wai Mun yang mewakili Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud tampil memberi sumbangan pek makanan asas dan wang tunai kepada Logapusnam di Taman Mewah Bercham, di sini. 
 
Hadir sama, Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman. 
 
Wai Mun berkata, MBI dan Econsave sentiasa bekerjasama bagi memastikan kebajikan warga Ipoh terbela terutamanya yang mempunyai masalah sewaktu pandemik Covid-19 ini.
 
"Selain sumbangan pada hari ini, kita akan membantu Logapusnam untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui program outreach kita laksanakan bersama Jabatan Kesihatan Daerah Kinta dalam masa terdekat. 
 
"Kita berharap Logapusnam dapat sembuh dengan segera dan boleh bekerja semula pada masa akan hadapan," katanya kepada Peraktastic pada Isnin. 
 
Sementara itu, Logapusnam mengucapkan terima kasih kepada MBI dan Econsave di atas keprihatinan serta sumbangan yang diberikan kepadanya pada hari ini. 
 
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MBI dan Econsave serta semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban kami sekeluarga," ujarnya. 
 
Dia turut menyatakan hasrat untuk bekerja semula dan memperolehi pendapatan sendiri kerana tidak mahu membebankan orang ramai. 
 
"Kalau ada kerja lipat kotak, sampul surat, saya masih mampu melakukan kerja-kerja seperti itu. Sekurang-kurangnya upah yang diterima sedikit sebanyak dapat digunakan untuk menampung kehidupan kami sekeluarga," jelasnya. 
 
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana suami, anak-anak dah ahli keluarganya banyak membantu sepanjang dia berhadapan dengan penyakitnya itu.
 
"Abang ipar banyak membantu dari segi kewangan dan ibu mertua setiap hari tidak pernah jemu menyediakan makan minum untuk kami sekeluarga. 
 
"Kalau boleh saya tidak mahu menyusahkan mereka dan berharap agar kaki saya akan sembuh dengan cepat," ujarnya yang memaklumkan luka di kakinya akan mengambil masa antara enam bulan sehingga setahun untuk pulih sepenuhnya. 
 
Semalam, Peraktastic melaporkan Logapusnam memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos perubatan mencuci luka akibat penyakit diabetes yang dihidapnya sejak lapan bulan lalu. 
 
Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Logapusnam di talian 011-2785 4406.